fb fb fb fb fb

Semua MRSM diisytihar cuti esok

Perkara berkenaan diumumkan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menerusi hantaran di media sosialnya/Grafik Instagram drasyrafwajdi

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara diisytiharkan cuti pada esok (28 Julai) sebagai tanda penghargaan atas kejayaan MRSM Balik Pulau menjuarai Kejohanan Super Schools Rugby 2025.

Perkara berkenaan diumumkan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menerusi hantaran di media sosialnya malam ini bagi meraikan pencapaian cemerlang pasukan ragbi itu yang telah mengharumkan nama MRSM.

“Semua MRSM di seluruh negara diisytiharkan cuti esok (28 Julai 2025) bersempena dengan kejayaan MRSM Balik Pulau menjuarai Kejohanan Super Schools Rugby 2025.

"Tahniah MRSM BP Cougars," katanya.

Cougars BP mencipta sejarah apabila muncul pasukan MRSM pertama bergelar juara Kejohanan Super Schools Rugby apabila menewaskan Victoria Institution (VI) 14-13 dalam aksi final di Taman Ekuestrian Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menerusi perkongsian di Facebook turut mengucapkan tahniah atas kejayaan bergaya berkenaan.

“Lebih manis lagi, kemenangan itu hadir selepas menewaskan pasukan hebat Victoria Institution dalam perlawanan akhir yang cukup sengit sebentar tadi.

“Selepas 10 tahun menyertai kejohanan ini, akhirnya Cougars berjaya membawa pulang kejuaraan dalam saingan berprestij itu. Syabas MRSM Balik Pulau terus harumkan nama sekolah dan institusi MARA!,” katanya. - BERNAMA

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI