LABUAN, 27 Julai - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melancarkan Inisiatif 'Cashless Society' dan Kempen Internet Selamat peringkat Labuan.
Pelancaran itu diadakan di reruai MCMC yang turut serta dalam program Borneo Flora Festival (BFF) 2025 Labuan.
Ia disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
Pelancaran itu merupakan simbol komitmen kerajaan dalam memperkasa agenda transformasi digital serta memperkukuh amalan keselamatan internet dalam kalangan masyarakat.
Inisiatif tersebut juga adalah sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif Smart Labuan dan Rangka Kerja Keselamatan Dalam Talian yang memberi tumpuan kepada pembentukan sebuah ekosistem digital yang inklusif, pintar, selamat dan mampan.
Inisiatif 'Cashless Society' merupakan usaha nasional berimpak tinggi untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital melalui galakan penggunaan pembayaran tanpa tunai seperti e-dompet, kod QR, DuitNow, kad debit dan kredit serta perbankan mudah alih.
Manakala, Kempen Internet Selamat ialah inisiatif nasional yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan keupayaan rakyat Malaysia dalam menangani isu keselamatan internet seperti buli siber, penipuan dalam talian, perjudian digital dan kandungan penderaan seksual kanak-kanak yang semakin membimbangkan.
Penglibatan aktif MCMC membuktikan sokongan padu terhadap inisiatif kerajaan dalam membina komuniti digital yang mampan, progresif dan menyeluruh di Wilayah Persekutuan.