MARANG, 27 Julai - Seramai 800 peserta terdiri anggota komuniti setempat dari seluruh negara, mengikuti pelbagai aktiviti permainan dalam Program MADANI Rakyat: Kebombaan Komuniti di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai.
Ia sebagai salah satu program satelit kepada Program MADANI Rakyat induk yang berlangsung di Kuala Terengganu.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, program dilaksanakan di Wakaf Tapai, Marang itu memberi penekanan terhadap aspek keselamatan awam, kesiapsiagaan bencana dan pendidikan kebombaan.
Ia juga menjadi platform komunikasi dua hala berkesan bagi menyampaikan maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan serta mendekatkan agenda Malaysia Madani kepada rakyat.
"Alhamdulilah hari ini kita secara bersama tadi seperti yang saya nyatakan tadi kita telah bawa program, kita telah tanamkan semangat dan kita harap ahli, peserta-peserta terlibat ini akan membawa impak yang positif.
"Dalam kita sama-sama membangunkan masyarakat Malaysia ini mengikut acuan yang telah kita tetapkan berdasarkan landasan prinsip MADANI tersebut," katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup Program MADANI Rakyat Kebombaan Komuniti di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, di sini hari ini. Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop.
Program tersebut adalah anjuran bersama, JBPM, dan J-KOM dengan kerjasama unit penyelarasan lonjakan prestasi (PACU), serta Jabatan Perdana Menteri .
Secara keseluruhan, program digerakkan ini juga bagi meningkatkan kesedaran awam serta menggalakkan penglibatan aktif rakyat dalam membina jati diri dan semangat kenegaraan.