PUTRAJAYA, 28 Julai – Malaysia sentiasa membuka pintu dan mengalu-alukan kehadiran para ulama serta cendekiawan Islam dari seluruh dunia, khususnya dalam wacana keilmuan.
Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh budaya ilmu dan dakwah yang berpaksikan nilai, akhlak serta kefahaman Islam yang mendalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan MADANI terus menghargai peranan ilmuwan dalam mengangkat martabat ilmu dan menyemarakkan budaya keilmuan berteraskan adab serta ihsan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) hadir Majlis Ilmu MADANI - Foto FB Dato' Setia Dr Naim
“Kita cintakan keilmuan dan mendambakan budaya ilmu sebagai jalan menuju pencerahan. Malah, kita menerima kehadiran para ulama dan da’i terkenal dari seluruh dunia sama ada dari Eropah, Amerika mahupun negara-negara Arab dengan hati terbuka. Malaysia adalah rumah mereka,”
"Cita-cita kita ialah meletakkan keilmuan di tahap tertinggi. Kita perlu belajar dengan ikhlas, menguasai kefahaman, dan mendalami prinsip agama secara beradab dan penuh ihsan" katanya.
Menurutnya, ia secara langsung akan melahirkan rakyat yang memiliki sifat rendah hati, belas kasihan serta keupayaan untuk hidup bersama, khususnya dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama, demi mewujudkan suasana yang aman dan harmoni.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI yang diadakan di Kompleks Seri Perdana, di sini, malam tadi.
Turut hadir Syeikh Dr Ahmad Aissa Hassan El-Ma’sarawi (tengah) - Foto FB Dato' Setia Dr Naim
Lebih 400 tetamu hadir memeriahkan majlis tersebut yang turut menampilkan tausiyah khas daripada pendakwah terkenal, Syeikh Yusuf Islam (Cat Stevens) serta Pakar Obstetrik dan Ginekologi merangkap aktivis dakwah, Dr. Sharifah Haifaa Younis.
Sementara itu, pakar al-Quran, Syeikh Dr Ahmad Aissa Hassan El-Ma’sarawi menyifatkan Majlis Ilmu MADANI yang diadakan secara bulanan itu wajar diteruskan kerana menyerupai amalan Khulafa’ Ar-Rasyidin yang menjadikan kediaman mereka sebagai tempat rakyat menimba ilmu.