fb fb fb fb fb

Nilai Islam pandu masa depan negara dalam kerangka MADANI

Kerangka Malaysia MADANI kekal berteraskan nilai murni, akhlak serta ilmu pengetahuan - Foto FB Dato' Setia Dr Naim

PUTRAJAYA, 28 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan negara di bawah kerangka Malaysia MADANI kekal berteraskan nilai murni, akhlak serta ilmu pengetahuan.

Tegasnya, pendekatan ini amat penting, memandangkan majoriti rakyat Malaysia beragama Islam.

Beliau berkata walaupun Malaysia ingin mengejar kemajuan teknologi moden dan bergerak pantas ke hadapan, negara harus sentiasa berpegang kepada nilai moral yang teguh dan sifat ihsan.

“Kita perlu maju. Kita perlu pastikan adanya keamanan dan kestabilan politik untuk merangka agenda ekonomi…bergerak ke hadapan dengan lebih pantas, dengan kadar yang dipercepat. Tetapi pada masa yang sama, kita sedar bahawa sebagai umat Islam, soal nilai adalah sangat penting,” katanya

Datuk Seri Anwar berkata, kemajuan negara perlu digerakkan secara menyeluruh dengan memastikan keamanan dan kestabilan politik demi merangka agenda ekonomi yang mampan.

Beliau berkata, demikian pada Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana, di sini, malam tadi.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK