fb fb fb fb fb

PM arah sektor awam, swasta guna Bahasa Kebangsaan dalam surat rasmi

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

CYBERJAYA, 25 Oktober- Setiap sektor diarahkan untuk berhubung dengan jabatan kerajaan menggunakan surat rasmi dalam Bahasa Kebangsaan sahaja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, setiap surat urusan rasmi yang diterima selain daripada Bahasa Kebangsaan akan dipulangkan semula.

"Relevannya dengan dekad membaca dalam konteks ini, kita tekankan penguasaan Bahasa Melayu. Dalam dasar kerajaan juga, saya ada membincangkan beberapa perkara bersama jemaah menteri berkaitan penggunaan Bahasa Kebangsaan.

"Kadangkala terdapat kekeliruan dalam kalangan jabatan kerajaan, universiti dan sektor swasta. Memang benar, untuk perdagangan antarabangsa kita menggunakan Bahasa Inggeris. Namun jangan cuba tinggalkan asas perlembagaan untuk berhubung dengan jabatan kerajaan dalam Bahasa Kebangsaan. Begitu juga dalam kalangan syarikat tempatan.

"Maka, arahannya sesiapa sahaja yang menulis surat dalam bahasa selain bahasa kebangsaan, surat itu akan dipulangkan. Dalam kita menggapai langit dan menerokai alam pemikiran baharu, tetapi kita harus mengakar ke bumi. Jangan cuba diremehkan. Saya harap arahan ini diambil kira. Saya tidak akan melayani sebarang surat yang disampaikan rakyat atau syarikat tempatan dalam bahasa selain Bahasa Kebangsaan", katanya.

Tambahnya, penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan harus ditekankan khususnya untuk meningkatkan modal insan dalam era Malaysia Madani.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika berucap melancarkan Majlis Perasmian Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

ROSLINA BINTI DIN