IPOH, 25 Oktober- Sebanyak 10 agensi bencana di daerah Kampar berkolaborasi mengadakan Latihan Pengendalian Bot dan Menyelamat di Air di Tasek Temoh, Tapah sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Nazrul Fazami Mohamad berkata ia melibatkan lebih 50 peserta.
Selain latihan penyelamatan, pihaknya juga mengadakan simulasi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dikelola Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sebanyak 25 PPS dikenal pasti di daerah tersebut.
"Perkara itu telah direalisasikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) apabila agensi itu telah memanggil agensi-agensi terlibat.
"Agensi terbabit telah mengadakan simulasi bersama dan peranan mereka akan digunakan apabila sesuatu PPS itu dilaksanakan.
"Jadi proses latihan ini akan diadakan berterusan sepertimana ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diuruskan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di peringkat Persekutuan," katanya kepada pemberita di sini.
Tambahnya, latihan penyelamat tersebut dilaksanakan bertujuan mewujudkan kesepakatan antara agensi terlibat dalam menghadapi sebarang bencana.