TAWAU, 11 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan tiga inisiatif utama bagi memperkasa kesejahteraan rakyat di seluruh negara termasuk Sabah.
Tiga pengumuman tersebut melibatkan penyerahan Projek Siap Tamu Desa Sabah, pelancaran Program Solar MADANI, serta penyampaian Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah.
"Kesemua ini tidak boleh dicapai tanpa kesepakatan dan kebersamaan utuh antara Kerajaaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam terus menjulang agenda memperkasakan rakyat negara ini," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata, bagi Projek Siap Tamu Desa Sabah, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi kerja penyelenggaraan kedai dan gerai kecil di seluruh Sabah yang dijangka memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.
Sementara itu, sebanyak 40 tiang lampu berasaskan tenaga solar telah dilancarkan di Tawau menerusi projek rintis Program Solar MADANI dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan komuniti setempat.
“Kerajaan memperuntukkan lebih RM350 juta bagi pemasangan dan penyelenggaraan lampu jalan kampung di seluruh negara, terutamanya kawasan pedalaman, demi keselamatan rakyat.
"Menariknya prakarsa (inisiatif) ini akan menjimatkan kos kerana menggunakan tenaga boleh baharu dan menggalakkan komuniti menjaga kemudahan demi manfaat bersama,” katanya.
Pada Majlis Penutup Program MADANI Rakyat 2025 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau hari ini, beliau turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Anugerah itu bagi memastikan naratif menoktahkan kemiskinan melalui keusahawanan dapat dijayakan.
Perdana Menteri turut meninjau reruai agensi dan jabatan kerajaan Persekutuan yang terlibat dalam program tersebut bagi melihat perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat setempat.