fb fb fb fb fb

PM Anwar ucap takziah ke atas pemimpin Myanmar dan Thailand

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/ Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 31 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah ke atas Jeneral Kanan junta tentera Myanmar, Min Aung Hlaing susulan bencana gempa bumi di Myanmar.

Anwar menerusi perkongsiannya di Facebook berkata, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited berdiri bersama rakyat Myanmar dalam menghadapi saat sukar ini.

"Malaysia dan ASEAN akan terus mendukung usaha bantuan kemanusiaan yang sedang giat dijalankan, termasuk menerusi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang telah diatur gerak ke Myanmar pada awal hari ini bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terkesan. Selain itu, satu misi kemanusiaan yang diketuai oleh YB Menteri Luar Negeri juga akan berlepas ke Myanmar dalam masa terdekat," kata Perdana Menteri.

Ketika menghubungi Min Aung Hlaing semalam, beliau memaklumkan mengenai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN yang dianjurkan Malaysia pada hari ini bagi mengerakkan sokongan ASEAN kepada Myanmar.

Dalam pada itu Perdana Menteri turut merakamkan rasa dukacita dan simpati ke atas Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra berhubung kejadian itu.

"Pada kesempatan yang sama, saya turut membangkitkan beberapa perkara terkait kedua-dua negara, termasuk tekad berterusan ASEAN dalam memudah cara dan membantu Myanmar mencari jalan penyelesaian damai terhadap krisis di negara itu," katanya.

Anwar berkata, perbincangan lebih lanjut akan diadakan semasa lawatan kerjanya ke Bangkok pada 17 April nanti.

TETITIA YUSOFF