fb fb fb fb fb

PM Anwar tempelak pihak pertikai usaha Malaysia bantu Gaza

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

IPOH, 31 Januari - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tempelak pihak yang pertikai usaha kerajaan untuk bantu bangunkan semula Gaza.

Tindakan sesetengah pihak mempertikai usaha membangunkan semula infrastruktur penting termasuk masjid, sekolah dan hospital di Gaza, Palestin adalah tidak wajar.

Tegas Anwar, usaha kerajaan itu tidak sewajarnya diperlekehkan kerana bumi Gaza dan Palestin telah melalui malapetaka paling dahsyat sejak dari Perang Dunia Kedua.

Jelas beliau, kerajaan membuat keputusan untuk membangunkan semula bumi Palestin di Gaza kerana kesengsaraan teruk yang dihadapi oleh rakyat di negara itu sejak lebih setahun lalu adalah jarang berlaku.

"Kesengsaraan yang dihadapai umat Islam Gaza, Palestin ini jarang berlaku dalam hidup kita sejak perang dunia ke dua sampai sekarang. Ini lah malapetaka paling dahsyat yang menimpa umat Islam yang menimpa umat manusia hancur lebur negerinya dihina terus tidak beri pengiktirafan sama sekali anak kecil wanita sekolah habis dimusnahkan," kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di luar pekarangan Masjid Al-Muttaqin Taman Meru, di sini.

Beliau sebelum ini mengumumkan pembinaan Bandar Wakaf Malaysia di Gaza antaranya membina sebuah sekolah, hospital dan masjid bagi meringankan penderitaan penduduk Palestin susulan pengumuman gencatan senjata di Gaza.

Bagaimanapun komitmen itu dipersoalkan beberapa individu yang menyarankan kerajaan memberi keutamaan menyelesaikan isu dalam negara terlebih dahulu.

Sementara itu, dalam majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan segera RM24 juta untuk membaiki infrastruktur akibat banjir yang berlaku di Sabah dan Sarawak.

Anwar berkata, peruntukan itu disalurkan sebagai keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang terjejas dengan bencana alam.

"Kemudian kita siapkan beberapa puluh juta kerajaan perlu RM20 juta ke RM24 juta segera untuk perbaiki kerosakan-kerosakan besar kita luluskan ini pandangan yang tidak ikut negeri tidak ikut musim tapi ikut tanggungjawab," katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) agar menyegerakan bantuan kewangan RM1,000 kepada setiap keluarga terjejas di dua negeri berkenaan.

TETITIA YUSOFF