fb fb fb fb fb

Projek Bandar Wakaf, komitmen PM perjuangkan isu kemanusiaan di peringkat global

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 31 Januari- Malaysia antara negara ASEAN pertama yang membantu usaha pembinaan semula Gaza menerusi Projek Bandar Wakaf, selepas Ramadhan ini.

Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman menyifatkan, inisiatif ini adalah bukti komitmen teguh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di peringkat global.

Beliau berkata langkah tersebut menonjolkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang dihormati masyarakat antarabangsa, terutama apabila projek itu bukan sahaja membantu membina semula Gaza, tetapi juga mempromosikan model wakaf yang unik dan inovatif.

"Lebih membanggakan, dana bantuan ini datang daripada independent fund dan sumbangan sektor korporat, yang menunjukkan kepercayaan tinggi pelbagai pihak terhadap kemampuan dan keikhlasan negara kita.

"Ia adalah cerminan Malaysia MADANI yang menjunjung nilai kemanusiaan sejagat dan solidariti bersama rakyat Palestin.

"Kita sekarang di fasa bukan sekadar menggantung bendera Palestin, tapi bersedia untuk membantu saudara seIslam kita yang mula berada di fasa pemulihan", katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan segelintir pihak yang berkemungkinan cemburu dengan pengiktirafan yang diterima oleh Perdana Menteri sehingga memperlekehkan usaha murni tersebut.

"Sebagai rakyat yang bijaksana, kita harus mengetepikan polemik dan menyokong usaha yang membawa manfaat kepada umat sejagat. Seperti kata pepatah, 'hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati'.

"Bantuan seperti ini tidak akan memiskinkan kita, malah ia adalah pelaburan untuk kesejahteraan umat manusia", katanya.

Katanya, Projek Bandar Wakaf ini adalah bukti keprihatinan dan kepimpinan Malaysia di mata dunia.

"Dengan pembinaan Masjid Berkembar Shah Alam, Apartmen Wakaf Selangor dan Sekolah Malaysia di Gaza, ia tidak hanya memberikan keperluan asas kepada rakyat Palestin, tetapi juga harapan baru untuk masa depan mereka.

Beliau menyeru semua pihak untuk bersama-sama menyokong projek itu.

"Bantulah usaha ini dengan keyakinan bahawa 'tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima'.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia akan mengetuai pembinaan semula Gaza dengan membina sekolah, hospital dan masjid.

ROSLINA BINTI DIN