fb fb fb fb fb

Banjir Sabah: Angka meningkat kepada 5, 725 orang, Kota Marudu paling terjejas

APM Sabah masih aktif membuat pemantauan di kawasan-kawasan Hotspot yang berpontensi dinaiki air/Foto APM Sabah

KUALA LUMPUR, 31 Januari - Keadaan banjir di Sabah terus mencatatkan peningkatan kepada 5,725 orang daripada 1,939 keluarga, berbanding 5,391 orang daripada 1,820 keluarga pada pukul 6.00 pagi tadi.

Berdasarkan data Pusat Kawalan Bencana Negara (NADMA), 1,939 keluarga di 10 daerah masih berlindung di 36 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi setakat pukul 12:00 tengah hari ini.

Kota Marudu kekal sebagai daerah paling terjejas dengan 2,944 penduduk daripada 1,095 keluarga ditempatkan di sembilan PPS.

Pitas pula menempatkan 767 penduduk daripada 269 keluarga di lima PPS, walaupun menunjukkan trend penurunan.

Telupid mencatatkan peningkatan dengan 507 penduduk daripada 134 keluarga berlindung di tiga PPS.

Lahad Datu menempatkan 443 penduduk daripada 121 keluarga di tiga PPS, dengan keadaan masih tidak berubah.

Di daerah lain, Kota Belud menunjukkan peningkatan dengan menempatkan 308 penduduk daripada 89 keluarga di empat PPS.

Paitan pula mencatatkan 280 penduduk daripada 99 keluarga di empat PPS, dengan peningkatan direkodkan.

Beluran merekodkan 196 penduduk daripada 60 keluarga di tiga PPS, dengan jumlah penduduk kekal.

Sandakan mencatatkan 180 penduduk daripada 60 keluarga di dua PPS, juga tidak berubah.

Beaufort menempatkan 131 penduduk daripada 31 keluarga di satu PPS, dengan trend meningkat.

Tongod pula mencatatkan 54 penduduk daripada 13 keluarga di satu PPS, dengan keadaan masih tidak berubah.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Sabah yang dijangka berterusan sehingga pukul 6:00 petang hari ini.

Antara kawasan yang terlibat ialah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan dan Penampang) serta Sandakan (Tongod, Telupid, Kinabatangan dan Sandakan).

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlarutan lebih dari satu jam.

GRACE AISYAH KEDAYAN