fb fb fb fb fb

Kenaikan gaji penjawat awam selari dengan beban kerja - PM

FOTO FACEBOOK Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 31 Januari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kenaikan gaji penjawat awam menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) selari dengan peningkatan beban kerja yang semakin bertambah.

Beliau menjelaskan kerajaan memperuntukkan tambahan RM10 bilion bagi tahun 2025 dan RM18 bilion untuk 2026 bagi tujuan tersebut, mengambil kira hakikat bahawa gaji penjawat awam tidak dinaikkan sejak 12 tahun lalu.

"Kerajaan Perpaduan menekankan keberkesanan dan mempercepatkan proses perkhidmatan awam supaya lebih efisien. Kita tidak mahu lagi alasan melambatkan kelulusan atau rakyat terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan permit atau memperbaharui lesen.

"Oleh kerana tanggungjawab bertambah maka kerajaan beri pengiktirafan dengan cara meningkatkan kadar upah penjawat awam," katanya.

Anwar turut mengarahkan agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan terhadap sebarang penyelewengan dalam pentadbiran awam.

Menurutnya langkah itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kadar upah penjawat awam, tetapi juga memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.

Anwar berkata kerajaan juga terus komited dalam menangani isu kos sara hidup dengan menjadikannya sebagai keutamaan dalam memastikan rakyat tidak terbeban.

Sejajar dengan itu, pelbagai bantuan telah disediakan bagi meringankan beban rakyat.

"Kerajaan, umpamanya, telah meningkatkan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang kini mencecah RM13 bilion. Kerajaan menambah peruntukan ini kerana kami sedar kos sara hidup semakin meningkat yang merupakan masalah global," katanya.

Tambah Perdana Menteri, pertemuan dengan beberapa pemimpin dunia seperti Presiden Indonesia Prabowo Subianto baru-baru ini turut menekankan isu kos sara hidup yang semakin meningkat sebagai cabaran utama yang dihadapi oleh pelbagai negara.

"Begitu juga ketika saya berkunjung ke Kesatuan Eropah, berbincang dengan Presidennya (Ursula von der Leyen) mengenai isu kos sara hidup yang semakin meningkat, serta Perdana Menteri Belanda (Mark Rutte) dan Perdana Menteri United Kingdom (Rishi Sunak) yang mana semuanya menghadapi cabaran sama.

"(Dan) walaupun kos sara hidup kita (Malaysia) meningkat, ia masih relatif rendah berbanding negara lain, namun ia tetap membebankan rakyat.

"Sebab itu, kerajaan menambah bantuan dan Malaysia antara negara yang memberi sumbangan tinggi kepada rakyat," katanya.

SITI AISHAH MD ISA