fb fb fb fb fb

PM Anwar sumbang komputer riba kepada pelajar cemerlang SPM

Prof Dr Maszlee Malik (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan komputer riba sumbangan Perdana Menteri kepada Muhammad Syimir (dua dari kanan) di Kampung Pangkalan Chengal, Perupok, Bachok hari ini/Foto Rosliza Mohamed

BACHOK, 22 Jun - Seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menarik nafas lega apabila menerima sumbangan komputer riba dan wang saku daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi program Ziarah Kasih MADANI, hari ini.

Muhammad Syimir Amar Almuktar, 18 tahun, yang memperolehi keputusan 8A, akan melanjutkan pengajian ke Politeknik Arau, Perlis dalam program Asasi Teknologi Kejuruteraan pada 9 Julai depan.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Prof Dr Maszlee Malik, yang mewakili Perdana Menteri, dalam kunjungan ke rumah keluarga pelajar itu di Kampung Pengkalan Chengal, Perupok.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia atas sumbangan laptop dan wang saku yang sangat membantu saya untuk sambung pelajaran. Tak terbayang pun boleh dapat benda macam ni," katanya ketika ditemui RTM hari ini.

Syimir anak ketiga daripada lima beradik dan disara ibunya yang juga ibu tunggal, Hayuzi Mat Zin, 46, hanya mengambil tempahan kuih-muih untuk menyara keluarga.

Sementara itu, Dr Maszlee berkata, Kerajaan Madani sentiasa komited memastikan tiada pelajar tercicir daripada pendidikan hanya kerana kekangan kewangan.

“Perdana Menteri tidak mahu ada sesiapa yang tercicir atau ketinggalan hanya kerana keadaan ekonomi mereka. Kita mahu semua anak Malaysia berjaya, di mana sahaja mereka berada dan dalam apa jua keadaan. Yang mana kita mampu bantu, kita akan bantu.

"Justeru, saya menyeru pemimpin setempat supaya menyampaikan maklumat mengenai pelajar kepada kepimpinan masyarakat masing-masing,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN