fb fb fb fb fb

Karnival Kita MADANI bantu komuniti dalam pelbagai perkara

Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 22 Jun- Karnival Kita MADANI bukan sekadar program santai, sebaliknya satu usaha menyeluruh kerajaan untuk membantu komuniti dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk perkhidmatan asas, penyelesaian isu tempatan dan pemerkasaan rakyat.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, pendekatan turun padang seperti karnival itu memberi peluang kepada rakyat mendapatkan maklumat, bantuan dan akses secara terus kepada perkhidmatan kerajaan di satu tempat.

"Kita mahu pastikan karnival ini menjadi platform kerajaan untuk mendengar masalah rakyat, menyelesaikan isu peringkat komuniti, dan menyampaikan maklumat yang betul serta perkhidmatan yang diperlukan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Kita MADANI Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Lembah Pantai di sini.

Karnival anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu dihadiri lebih 2,000 pengunjung mendapat kerjasama pelbagai agensi melibatkan jabatan dan agensi kerajaan, yang menawarkan pelbagai perkhidmatan penting secara terus kepada pengunjung.

Antaranya bayaran diskaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pendaftaran dan khidmat nasihat pelbagai agensi persekutuan dan negeri serta Jualan Rahmah dan Agro MADANI untuk meringankan kos sara hidup.

Karnival berkenaan turut menampilkan program Kempen Internet Selamat (KIS), fun walk, pertandingan sukan rakyat dan mewarna kanak-kanak, serta sesi penerangan dasar dan isu semasa berteraskan konsep Malaysia MADANI.

Pada majlis itu Datuk Fahmi turut menyampaikan sumbangan bawah program BAKTI@Komuniti MADANI, inisiatif yang memberi fokus kepada pemerkasaan komuniti melalui kesukarelawanan dan khidmat sosial secara langsung.

Karnival hari ini adalah edisi kelima dalam siri jelajah nasional dan akan diteruskan ke Terengganu pada 28 Jun, sebelum ke Kelantan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI