SARATOK, 22 Jun – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM122.5 juta bagi menaik taraf laluan sepanjang 19.9 kilometer dari Kampung Kupang ke Simpang Jalan Bajau.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu termasuk menaik taraf pembinaan lima buah jambatan yang dilaksanakan di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB).
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pelaksanaan projek itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam usaha merapatkan jurang infrastruktur antara bandar dan desa.
“Saya mahu jalan ini menjadi pemangkin mobiliti yang lebih lancar, meningkatkan akses ke pusat bandar, serta membuka ruang lebih luas kepada pertumbuhan sektor pertanian, pelancongan desa dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
"Inilah wajah sebenar pembangunan yang inklusif bukan hanya tertumpu di kota, tetapi turut meresap ke desa. Kita tidak mahu ada komuniti yang tertinggal hanya kerana kedudukan geografinya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pecah Tanah projek pembinaam jalan dari Kampung Kupang ke Simpang Jalan Bajau di Simpang Rumah Rengan Selambong.
“Dengan pelaksanaan yang cekap dan menepati standard kualiti tinggi, projek ini membuktikan kerajaan sentiasa mendengar, memahami dan bertindak demi kesejahteraan semua," katanya.
Beliau tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Kuching, semalam untuk lawatan rasmi selama dua hari.