KUALA LUMPUR, 22 Jun – Seorang lagi jemaah haji Malaysia disahkan meninggal dunia di Tanah Suci pagi tadi (waktu Arab Saudi), menjadikan jumlah keseluruhan kematian 20 orang setakat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kematian melibatkan Hajah Siti Meriam Shahbudin, 79, jemaah yang berasal dari Johor.
“Almarhumah menghembuskan nafas terakhir di Hotel Mubarak, Makkah akibat serangan jantung,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarhamah dan mendoakan agar roh Almarhumah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
“Pihak Lembaga Tabung Haji telah menguruskan segala keperluan jenazah mengikut prosedur yang ditetapkan. Semoga segala amal ibadah haji Almarhumah diterima oleh Allah SWT,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar waris serta ahli keluarga Almarhumah diberikan ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian ini.