fb fb fb fb fb

Adik Sufea Adela sambung hasrat kakak jadi ustazah

Foto fail

JERTIH, 22 Jun - Impian Allahyarhamah Sufea Adela Maslihaizan, seorang daripada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak pada 9 Jun lepas, yang ingin menjadi ustazah sejak kecil diteruskan oleh adik bongsu mangsa.

Alia Hanani, 18, yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian dalam program Diploma Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini berhasrat menyempurnakan cita-cita kakaknya itu, terutama apabila semua urusan permohonan untuk memasuki universiti itu dilakukan sendiri oleh arwah.

“Arwah isi permohonan UPU (Unit Pusat Universiti) ketika dia berada di UPSI dan kakak pilih UniSZA sebagai pilihan pertama kerana mahu saya berada dekat dengan ibu dan ayah memandangkan dia dan dua lagi kakak saya berada jauh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima surat tawaran melanjutkan pengajian berkenaan, yang disampaikan sendiri oleh Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam di rumahnya di Kampung Air Terjun di sini hari ini.

Alia Hanani yang mahu menjadi guru Pendidikan Islam bercadang untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pendidikan selepas tamat diploma nanti.

Sementara itu, Fadzli berkata pihak universiti akan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada Alia Hanani yang bakal memulakan pengajian pada 15 Julai depan.

“Pada peringkat awal, kita bagi bantuan awal untuk mendaftar diri iaitu wang tunai RM500 dan sebuah komputer riba selain dalam pertimbangan untuk mendapatkan bantuan biasiswa bagi yuran pengajian dan sara hidup,” katanya.

Allahyarham Sufea Adela, 21, adalah seorang daripada 15 pelajar UPSI yang meninggal dunia apabila bas yang disewa khas dari Jertih untuk pulang ke kampus utama universiti itu di Tanjung Malim, Perak terbalik dalam kemalangan yang turut melibatkan sebuah kereta pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di JRTB.

Nahas yang berlaku pada awal pagi 9 Jun itu turut menyebabkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas selain pemandu serta tiga penumpang MPV itu. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF