KAPIT, 29 September - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Majlis Pecah Tanah bagi projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit yang baharu bagi menggantikan balai polis sedia ada.
Projek itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 45.6 ekar, melibatkan pembinaan pelbagai bangunan dan kemudahan untuk pegawai serta anggota yang bertugas.
Antara fasiliti yang akan dibina termasuk bangunan pentadbiran tiga tingkat, stor barang kes, lapang sasar tertutup, padang kawad, garaj kenderaan pasukan berbumbung, dewan serbaguna, padang bola sepak, chapel, dan surau.
Dalam pada itu, untuk kemudahan pegawai dan anggota, dua blok kuarters 'Kelas F' lima tingkat dengan 38 unit kediaman, enam unit kuarters Kelas D, rumah PERKEP, dan taska turut disediakan.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Haji Openg, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Sri Alexander Nanta Linggi.
Pada tahun lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata IPD Kapit dibina dengan peruntukan sebanyak RM150 juta.
IPD Kapit diklasifikasikan sebagai Kategori C dan diketuai Ketua Polis Daerah (KPD) berpangkat Timbalan Superintenden dan kementeriannya mengambil maklum permohonan agar IPD Kapit dinaik taraf kepada Kategori B yang akan diketuai oleh Ketua Polis Daerah berpangkat Superintenden.