fb fb fb fb fb

Inisiatif Deposit Madani bantu golongan berpendapatan rendah miliki rumah pertama

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

IPOH, 29 September- Inisiatif Deposit Madani yang dikemukan dalam Belanjawan 2025 akan dapat membantu golongan yang berpendapatan rendah dan golongan muda untuk memiliki rumah pertama.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, bantuan deposit oleh kerajaan maksimun RM30,000 itu sekali gus dapat meningkatkan pemilikan rumah dalam negara.

"Saya bagi contoh saudara beli rumah RM300,000. rumah pertama 10 peratus kerajaan bagi. Rumah yang boleh dibeli adalah daripada harga tidak melebihi RM500,000. Rumah pertama, umur 21 hingga 44, kita harap inisiatif ini dapat diterima oleh Kementerian Kewangan," katanya.

Inisiatif tersebut mengambil kira golongan muda yang baru tamat pengajian dan pekerja sektor ekonomi gig yang sukar membuat pinjaman disebabkan kekurangan dokumen sokongan.

Jelasnya, setakat ini pemilikan rumah dalam negara oleh sesebuah keluarga telah mencapai 76.9 peratus iaitu berada pada paras yang baik.

Nga ditemui media pada Konvensyen Biasa Dapsy Negeri Perak 2024 di Hotel Kinta Riverfront di Ipoh.

Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengemukakan 33 inisiatif untuk pertimbangan Kementerian Kewangan bagi Belanjawan 2025 yang akan dibentang pada 18 Oktober nanti.

Kesemuanya melibatkan peruntukkan bernilai hampir RM 1 billion.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE