fb fb fb fb fb

Johor guna alat pengesan pencemaran di sungai, elak kejadian sama berulang

Datuk Mohd Jafni bercakap kepada media pada Program World Cleanup Day (WCD) Peringkat Negeri Johor 2024 / FOTO RTM

KULAI, 29 September- Kerajaan Johor dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan serta Jabatan Pengairan dan Saliran bakal melancarkan penggunaan alat pengesan bagi memantau keadaan sungai seluruh negeri, awal tahun hadapan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, sebanyak RM850,000 diperuntukkan untuk fasa awal dengan Sungai Skudai akan menjadi lokasi pertama untuk mengkaji keberkesanan penggunaan alat pengesan itu.

"Kita guna alat pengesan letak di sungai, boleh ukur 24 jam bacaan sungai tercemar dan akan kita datang kita akan buat 'profiling' kilang yang berada di sepanjang sungai untuk kita buat pengesanan kalau ada pencemaran.

" Ia, agar di peringkat agensi lain boleh ambil tindakan segera kerana kita tidak mahu ia berlaku lagi. Seperti kes sebelum ini, sekolah terpaksa ditutup," katanya.

Setakat ini, serahan surat setuju terima telah dilakukan dan reka bentuk sistem, pemasangan perisian serta sistem aplikasi akan dilaksanakan bulan hadapan. 

Inisiatif itu merupakan salah satu Pelan Tindakan Bandar Pintar Johor 2030 selain dapat membantu agensi mengambil tindakan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab telah mengotorkan sungai.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE