KUALAI, 29 September- Kira-kira 4,645 tan sampah berjaya dikutip di 1,468 lokasi di seluruh negara, semalam dengan kerjasama seramai 3,236 sukarelawan bersempena Program World Cleanup Day 2024.
Berdasarkan jumlah keseluruhan itu, negeri Johor berjaya mencatatkan jumlah kutipan sebanyak 211.06 tan sampah menerusi 98 lokasi yang dipilih untuk perlaksanaan program.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, inisiatif itu dapat menjadikan Malaysia khususnya Johor berada dalam keadaan bersih selain membantu meningkatkan kesedaran orang awam untuk menjaga kebersihan.
Beliau juga mengingatkan, orang awam boleh dikenakan tindakan dan denda sehingga RM2,000 sekiranya didapati melakukan kesalahan membuang sampah merata tempat.
Datuk Mohd Jafni ditemui semasa Program World Cleanup Day (WCD) Peringkat Negeri Johor 2024 di Taman Eko Rimba Gunung Pulai Satu.
Program berkenaan berlangsung selama 12 jam dari 8 pagi sehingga 8 malam dengan 97 lokasi lain telah dilaksanakan, semalam manakala satu lagi lokasi dilaksanakan, hari ini.