PUTRAJAYA, 26 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN menegaskan bahawa ketidaktentuan geopolitik global menuntut negara anggota ASEAN membina daya tahan yang kukuh sama ada di peringkat nasional mahupun dalam kerangka serantau.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan dalam sesi Libat Urus Pemimpin ASEAN bersama wakil Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), petang tadi.
“ASEAN perlu bersiap siaga menghadapi cabaran seperti ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim dan tekanan ekonomi global yang semakin meruncing,” katanya.
Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar menekankan keperluan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta bagi memperkukuh inovasi, memperluas perdagangan serta pelaburan intra-ASEAN demi menjamin kemakmuran yang lebih saksama dan mampan.
"ASEAN-BAC juga berperanan penting dalam mengemukakan pandangan serta cadangan strategik yang dapat memperhalusi dasar dan mempercepat agenda integrasi ekonomi serantau," katanya.
Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan blok serantau itu, setelah pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Sempena sidang kemuncak itu, dua acara peringkat tinggi turut diadakan iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kalinya diadakan, yang berfungsi sebagai platform strategik untuk memajukan kerjasama serantau dan antara rantau.