KUALA LUMPUR, 26 Mei- Pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 : Masa Depan Bersama mencerminkan semangat kebersamaan blok tersebut dalam menangani pelbagai cabaran serantau dan global dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi dokumen itu aspirasi untuk menjadi ekonomi keempat terbesar dunia harus diperkukuh melangkaui usaha menggalakkan perdagangan intra-ASEAN.
"680 juta penduduk ASEAN ini harus diberikan penekanan, terutamanya Generasi Z dan Generasi Alfa dalam menentukan masa depan mereka agar selari dengan ekosistem pendidikan yang baharu dan keterbukaan dalam sistem guna tenaga di seluruh negara anggota.
"Kita mahu dunia keseluruhannya dan tidak terkecuali Asean itu menyokong sistem multipolar agar rantau ini kekal menjadi rantau yang selamat dan berkecuali demi kepentingan generasi ASEAN untuk 20 tahun akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 : Masa Depan Bersama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara.
ASEAN juga perlu terus mengekalkan suara sepunya dan prinsip kebersamaan dalam setiap isu yang dibincangkan.