KUALA LUMPUR, 8 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon dengan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, berhubung tindakan ASEAN terhadap isu serantau.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata ia termasuk isu yang menyentuh krisis kemanusiaan di Myanmar serta cabaran ekonomi akibat tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS).
"Kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala susulan lawatan kerja terdahulu dan menyatakan komitmen untuk menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.