fb fb fb fb fb

Penggunaan Kiosk Sentuhan MADANI Putrajaya meningkat lebih 40 peratus

Menteri Digital, Gobind Singh Deo.- Foto fail

PETALING JAYA, 8 Mei- Penggunaan Kiosk Sentuhan MADANI di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya meningkat lebih 40 peratus sejak ia dilancarkan Januari lalu.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata peningkatan itu direkodkan daripada 4,600 transaksi kepada 6,600 transaksi pada bulan Mac.

Manakala kiosk kedua di KL Sentral, katanya lebih 5,000 transaksi direkodkan dalam bulan pertama pelaksanaannya, mencerminkan penerimaan memberangsangkan daripada pengguna terhadap inisiatif digital itu.

Tambahnya, peningkatan itu juga membuktikan rakyat semakin selesa menggunakan saluran digital untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan lebih mudah dan pantas.

“Ini sebenarnya inisiatif yang kita lihat dapat membantu membawa maklumat kepada semua berkaitan bagaimana inisiatif digital atau proses digital menyenangkan dan melancarkan cara kita membuat urusan dengan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan peluncuran Kiosk Sentuhan MADANI di Pusat Beli-Belah 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Pusat beli-belah 1 Utama merupakan kiosk ketiga di bawah inisiatif Kiosk Sentuhan MADANI, hasil kerjasama Unit Pantau MADANI dan pengurusan 1 Utama, seterusnya memanfaatkan kehadiran lebih 92,000 pengunjung harian.

Gobind berkata kejayaan pelancaran kiosk ketiga itu, membuktikan keberkesanan pendekatan ‘whole-of-nation’, hasil kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kiosk Sentuhan MADANI yang menghimpunkan pelbagai kiosk digital menawarkan lebih 100 perkhidmatan kerajaan dan swasta di kawasan tumpuan ramai, sekali gus meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan awam dengan waktu operasi lebih panjang.

Antara agensi penyelia kiosk terlibat adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), MyDigital ID, TM Unifi, Pos Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

MOHAN CHINNASAMY