KUALA LUMPUR, 8 Mei- Kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Aset Digital dan AI (kecerdasan buatan), mengambil kira status dua bidang itu yang kini dianggap pemacu utama pertumbuhan ekonomi global dan daya saing negara.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata majlis berkenaan akan menjadi satu entiti penasihat strategik dengan turut disertai tokoh pemikir dasar serta pemain industri.
Tambah beliau, majlis penasihat itu akan memainkan peranan penting dalam meletakkan negara supaya mampu menguasai dua teknologi berkenaan, lantas berada pada barisan hadapan dalam ekonomi digital dunia.
"Majlis ini akan dianggotai pakar dalam dan luar negara, pemain industri, ahli akademik serta tokoh pemikir dasar, bagi memastikan pendekatan kita bukan sahaja sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa, tetapi juga sesuai dengan konteks Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian melalui taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim hari ini.
Terdahulu, hari ini, Menteri Digital, Gobind Singh Deo memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Aset Digital dan AI yang buat julung kalinya diadakan.
Mesyuarat itu, katanya, turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Gobind dilapor berkata mesyuarat berkenaan penting untuk menjamin hala tuju aset digital dan AI yang sememangnya penting dalam membangunkan sebuah Malaysia berdaya digital dan makmur untuk semua.