fb fb fb fb fb

Rakan Muda akan diperkasa, bantu tingkat potensi belia negara

KUALA LUMPUR, 8 Mei - Kerajaan akan terus meningkatkan potensi belia negara dengan memperkasa Program Rakan Muda, yang telah memberi impak positif menerusi penyertaan 2.2 juta belia tahun lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata lebih 317,000 belia menyertai program secara dalam talian pada tahun sama.

“Sehingga April 2025 dilaporkan 119 Sekretariat Rakan Muda Institut Pengajian Tinggi (IPT) telah ditubuhkan dan bergerak aktif, peningkatan ketara berbanding 2024 hanya terdapat 89 Sekretariat Rakan Muda IPT,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu Ahmad Zahid berkata beliau turut mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) Bilangan 1/2025 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) hari ini yang memberi fokus kepada pelaksanaan program untuk golongan belia melalui platform Rakan Muda.

Beliau berkata beberapa ketetapan juga telah dicapai menerusi mesyarat tersebut, antaranya Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Kebangsaan bagi mengiktiraf peranan belia akan berlangsung pada 13 hingga 15 Jun depan.

Beliau berkata sambutan HBN peringkat negeri pula akan berlangsung pada 17 dan 18 Mei ini, manakala Semarak HBN Peringkat Daerah pada 15 Mei.

Ahmad Zahid berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai urus setia mesyuarat JKPB telah memainkan peranan aktif sebagai penyelaras dan advokasi dengan membentangkan mengenai masalah sosial belia yang memerlukan perhatian serta kerjasama merentasi pelbagai kementerian.

Beliau berkata sebagai langkah pertama, KBS akan memperkukuh kolaborasi strategik bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melalui pelaksanaan program pencegahan dan intervensi awal yang lebih berfokus. - BERNAMA 

Kedudukan Malaysia dalam Global Youth Development Index menunjukkan peningkatan apabila menduduki tangga ke-35 daripada 183 negara pada 2023 berbanding tangga ke-50 daripada 181 negara pada 2020.

Ahmad Zahid berkata di peringkat ASEAN pula, Malaysia menduduki tangga kedua daripada 10 negara pada 2022 berbanding tangga ketiga daripada 10 negara pada 2016. - Bernama 

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN