fb fb fb fb fb

Malaysia sedia jadi peneraju ekonomi digital global - PM

Perdana Menteri sewaktu mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Penasihat Aset Digital dan AI.

KUALA LUMPUR, 8 Mei - Malaysia sedia menjadi peneraju dalam ekonomi digital global dengan adanya kepimpinan yang jelas dan ekosistem teknologi yang progresif.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook ,teknologi aset digital dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi global dan daya saing negara

Perdana Menteri berkata antara yang dibincangkan dalam mesyuarat pertama Majlis Penasihat Aset Digital dan AI hari ini ialah potensi Malaysia sebagai hab utama dalam teknologi blok rantai dan aset digital termasuk dalam sektor strategik seperti perdagangan rentas sempadan, industri halal dan kewangan Islam.

Antara fokus utama adalah penggunaan teknologi seperti tokenisasi, aset kripto, AI, analitik data raya dan pengkomputeran awan untuk memperkasakan sektor kewangan digital yang lebih cekap, selamat dan inklusif.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama berterusan dengan Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia, Kementerian Digital, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam memastikan dasar yang menyokong pembangunan teknologi secarabertanggungjawab dan progresif.

"Dengan kepimpinan yang jelas dan ekosistem teknologi yang progresif, Malaysia bersedia muncul sebagai peneraju dalam ekonomi digital global, " katanya.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN