PUTRAJAYA, 8 Mei - Kerajaan sedang meneliti kaedah terbaik bagi melaksanakan dasar lebih progresif dalam pengurusan sisa plastik.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pengendalian sisa plastik yang tidak efisien boleh menjejaskan kesihatan rakyat dan alam sekitar.
Jelasnya, meskipun beberapa inisiatif telah diperkenalkan, dasar menyeluruh serta undang-undang khusus masih dalam peringkat penelitian.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Vending ATLAS Ecopod dan Penyampaian Anugerah Guinness World Records, di sini.
Nik Nazmi turut menegaskan, penyertaan Malaysia pada Persidangan Konvensyen Basel, Rotterdam dan Stockholm di Geneva baru-baru ini, bukti komitmen negara terhadap isu pengurusan sisa plastik.
Antara fokus perbincangan adalah usaha mengenal pasti pendekatan inklusif dan progresif di bawah kerangka Perjanjian Plastik Global.