KUALA LUMPUR, 8 Mei- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkenalkan pelaksanaan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) secara elektronik (e-Cert), Isnin lalu.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee, berkata inisiatif itu selaras dengan agenda Pendigitalan Perkhidmatan Awam supaya dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, semua permohonan SPHM yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia peringkat JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) pada atau selepas 5 Mei lalu akan diproses secara elektronik.
“Pemohon yang telah mendapat pengesahan kini boleh mencetak sendiri SPHM melalui sistem MYeHALAL.
“Sekiranya pihak syarikat masih memerlukan SPHM dalam bentuk fizikal yang dicetak dan disahkan oleh JAKIM, MAIN atau JAIN, permohonan rasmi hendaklah dikemukakan melalui surat rasmi.
“Segala urusan percetakan sijil secara fizikal dikategorikan sebagai Cetakan Semula SPHM dan akan dikenakan bayaran selaras dengan Klausa 13 Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020,” katanya dalam satu kenyataan.
Datuk Sirajuddin berkata, JAKIM komited memastikan nilai daya cipta membabitkan pembaharuan dan pengupayaan modal insan yang terkandung dalam teras Malaysia Madani dapat direalisasikan meliputi urusan pensijilan halal.
“Komitmen ini dizahirkan melalui sokongan terhadap inisiatif digitalisasi selaras perkembangan teknologi maklumat kini, sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya.