fb fb fb fb fb

Penyelesaian menyeluruh bantu mangsa kebakaran Bandar Tun Razak

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Mei - Kerajaan akan mencari penyelesaian menyeluruh bagi memastikan penempatan penduduk yang terlibat dalam insiden kebakaran di Bandar Tun Razak baru-baru ini benar-benar selamat.

Ahli Parlimennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, memandangkan kebakaran berlaku beberapa kali di lokasi sama , kajian terperinci akan di lakukan termasuk kedudukan struktur binaan rumah.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Program Ziarah Madani dan majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa kebakaran di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Sumbangan berbentuk wang tunai daripada Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Cheras serta Bandar Tun Razak selain bantuan barangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam usaha meringankan beban mangsa.

Sebanyak tujuh keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara susulan kejadian kebakaran pada Ahad lepas.

Sementara itu , Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman berkata pihaknya kini sedang menguruskan pencarian penempatan di perumahan baharu DBKL di sekitar Bandar Tun Razak.

"Kita menganggarkan tempoh sekitar satu hingga dua minggu untuk mendapatkan rumah-rumah DBKL baharu bagi memastikan mereka tidak perlu tinggal terlalu lama di PPS, sekali gus memudahkan anak-anak ke sekolah. Insya-Allah kami sedang berusaha sedaya upaya demi keselesaan mangsa-mangsa yang terkesan,” katanya.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN