fb fb fb fb fb

Garis panduan media sosial ASEAN dijangka dimuktamadkan dalam 3 bulan

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching. / Foto BERNAMA

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei- Garis Panduan ASEAN mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab bertujuan menangani cabaran semakin meningkat berkaitan penggunaan media sosial, dijangka dimuktamadkan dalam tiga bulan ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata inisiatif itu selaras objektif supaya garis panduan itu diterima pakai oleh semua negara anggota ASEAN tahun depan.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menganjurkan bengkel bulan ini, kami harap selepas bengkel tersebut maklum balas akan lebih menyeluruh dan inklusif," katanya.

Garis panduan itu bertujuan menyediakan panduan harmoni untuk rantau ini, menghasilkan laporan komprehensif mengenai peraturan media sosial di seluruh negara anggota ASEAN serta menyokong garis panduan praktikal yang mencerminkan konteks unik ASEAN.

Mengetuai delegasi Malaysia pada Persidangan Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab Bagi Maklumat (AMRI) ke-17, Teo Nie Ching memaklumkan mengenai inisiatif itu yang diterajui Malaysia semasa sesi pleno pada Rabu.

Teo Nie Ching berkata, kolaborasi ASEAN penting dalam menangani isu bersama terutama dalam menguruskan cabaran media sosial.

MOHAN CHINNASAMY