PUTRAJAYA, 8 Mei - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya rancangan Israel untuk mewujudkan kependudukan berterusan di Gaza dengan mengusir lebih dua juta penduduk Palestin secara paksa.
Dalam kenyataan Wisma Putra, tindakan itu disifatkan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk pengusiran sistematik dan kawalan ketenteraan ke atas bantuan kemanusiaan.
Kenyataan itu menyebut, pengusiran secara paksa serta penggunaan kebuluran sebagai senjata adalah jenayah perang, dan tidak boleh diterima atas sebarang alasan atau justifikasi.
Malaysia turut mengecam tindakan Israel meluaskan serangan ke luar wilayah Palestin, termasuk ke atas pelabuhan Hodeidah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa di Yaman, yang dianggap ancaman besar terhadap keselamatan serantau.
Malaysia menegaskan, sikap tidak endah Israel terhadap undang-undang antarabangsa mesti dihentikan dan semua pelaku mesti dibawa ke muka pengadilan.
Sehubungan itu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa melalui Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bertindak segera.
Malaysia turut mengulangi sokongan terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta penubuhan negara merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.