fb fb fb fb fb

PLUS arah henti sementara kerja selenggara dan naik taraf lebuh raya sehingga 2 Januari

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 28 Disember- Sempena musim cuti hujung tahun dan sambutan Tahun Baharu, PLUS telah mengeluarkan arahan pemberhentian sementara kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf serta tiada penutupan lorong di lebuh raya kendaliannya sehingga 2 Januari 2023 untuk mengelakkan kesesakan di lebuh raya.

Namun, penutupan lorong mungkin terpaksa diadakan bagi membolehkan kerja-kerja pengalihan kenderaan yang terlibat kemalangan, kerja pembersihan di lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal atas faktor keselamatan.

PLUS menerusi satu hantaran di Facebook, mengingatkan pengguna untuk mendapatkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dan merancang perjalanan sempena cuti hujung tahun dan Tahun Baharu 2023.

Jadual TTA boleh didapati menerusi laman web PLUS di www.plus.com.my untuk panduan merancang perjalanan sehingga 2 Januari 2023.

"PLUS menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk merujuk laman Twitter PLUS @plustrafik, Aplikasi PLUS atau menerusi PUTRI Chatbot untuk mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya.

"Sekiranya memerlukan bantuan, pelanggan boleh menghubungi PLUS menerusi butang SOS pada Aplikasi PLUS dan PUTRI Chatbot, hubungi PLUSLine di 1800-88-0000 atau menerusi telefon kecemasan sepanjang lebuh raya,"menurut hantaran tersebut.

Pelanggan lebuh raya juga boleh menggunakan aplikasi lain seperti Waze atau Google Maps untuk panduan merancang perjalanan lebih mudah.


(INFOGRAFIK PLUS)

Media Baharu