fb fb fb fb fb

DUN Perak lulus belanjawan berjumlah RM1.19 bilion

(FOTO HIASAN)

IPOH, 28 Disember- Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan Belanjawan Perak 2023 berjumlah RM1.19 bilion.

Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tahun 2023 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2023 diluluskan sebulat suara selepas dipersetujui sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Seramai 23 ADUN mengambil bahagian dalam sesi perbahasan semalam dengan sembilan daripadanya merupakan wakil rakyat blok kerajaan dan 14 wakil rakyat blok pembangkang.

Belanjawan Perak 2023 bertemakan Perak Makmur, Rakyat Sejahtera dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Khamis lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sesi penggulungan berkata, belanjawan yang dibentangkan itu penting kerana menentukan tahap kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam mengharungi ketidaktentuan ekonomi sama ada di peringkat nasional mahupun global.

Malah katanya, ia juga akan menjadi indikasi keupayaan untuk mencipta momentum bagi menjayakan segala perancangan yang termaktub dalam pelan Perak Sejahtera 2030.

Menerusi Belanjawan Perak 2023, RM1.19 bilion diperuntukkan dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM794 juta dan pembangunan RM395 juta.


-Bentang RUU Anti Lompat Parti-

Sementara itu, Kerajaan Negeri Perak hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti sebagai langkah untuk memastikan larangan pertukaran parti politik bagi Ahli Dewan Negeri (ADUN) Perak.

Usul RUU berkenaan dibentangkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad sewaktu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15.

Datuk Seri Saarani sewaktu mengemukakan RUU tersebut berkata, pindaan berkenaan adalah bagi tujuan melarang Adun untuk bertukar parti yang selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Pindaan kepada Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan bagi mengadakan 'peruntukan-peruntukan perlu' seperti dalam Jadual Kelapan, Perlembagaan Persekutuan di dalam Undang- Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, kita berada di peringkat ini yang mana Dewan Negeri akan membahas dan seterusnya membuat keputusan berkenaan usul pindaan kepada Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri tentang larangan pertukaran parti politik bagi Ahli Dewan Negeri Perak,"katanya.

Tambahnya, terdapat lima fasal yang akan dicadangkan dalam pindaan RUU tersebut antaranya tajuk ringkas, peruntukan tentang permulaan kuat kuasa Enakmen yang dicadangkan, makna 'parti politik' dan kekosongan luar jangka di Dewan Negeri.

Perkara baharu 32A juga memperuntukkan keadaan apabila seseorang wakil rakyat itu tidak terhenti menjadi Adun disebabkan berlaku pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya.

Peruntukan itu juga terpakai jika seseorang Adun melepaskan keanggotaannya daripada parti politik apabila dipilih sebagai Yang Dipertua atau dipecat daripada keanggotaan dalam parti politik masing-masing.

RUU berkenaan dijadual akan dibahaskan oleh Adun kerajaan dan pembangkang esok.


(Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad)

Media Baharu