fb fb fb fb fb

PKR kekalkan keputusan umum calon PRN lebih awal

SEREMBAN, 16 Januari- Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengekalkan keputusan untuk mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang lebih awal seperti yang dilaksana pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.

Menurut Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata pihaknya akan memulakan proses mengenal pasti dan memuktamadkan calon-calon mereka yang bakal bertanding pada PRN yang melibatkan enam buah negeri dalam tempoh dua minggu lagi.

Walau bagaimanapun, keputusan itu mengambil kira rundingan kerjasama yang akan turut dimuktamadkan bersama parti Barisan Nasional (BN).

"Selepas perayaan Tahun Baharu Cina, kita akan memulakan proses pencalonan, saringan dan sebagainya kerana proses itu melibatkan pandangan semua pihak. Ia akan mengambil sedikit masa, jadi kita takkan tunggu dah sementara rundingan dengan BN untuk kerjasama pilihan raya negeri berjalan menerusi proses dalaman.

Selain itu, untuk mengenal pasti dan memuktamadkan calon PKR juga akan dimulakan dua minggu daripada sekarang," kata Rafizi kepada pemberita RTM ketika ditemui media pada Konvensyen Pilihan Raya Negeri 2023, di sini.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, yang juga merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata beliau menjangkakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal dilaksana pada bulan Mei depan.


(Foto Fail)

Media Baharu