PUTRAJAYA, 16 Januari - Jemaah Menteri dan warga perkhidmatan awam diingatkan untuk tidak mengamalkan budaya selesa sebaliknya bertekad melaksanakan perubahan dalam pentadbiran negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam apa jua sistem perlu ada keinginan dan hasrat untuk membawa perubahan kepada negara.

“Sudah mantap sistem yang bergerak puluhan tahun tapi harus ada kesediaan rendah diri untuk mengakui, ada kekuatannya tetapi bila kita letak tokoh baharu…harus ada hasrat bawa perubahan.
"Jadi tidak benar kalau kata bahawa kita harus ada budaya selesa, gembira dan memuaskan...itu yang mengigit kita,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Januari 2023, di sini.
Tambah Anwar, penjawat awam juga perlu berani membuat teguran terhadap Kerajaan Perpaduan kini yang didapati melanggar tindakan undang-undang.
"Saya tekankan ialah penguatkuasaan. Apa yang saya pelajari terutama di kementerian kewangan saya melihat banyak keterlanjuran...hendak salahkan pegawai...kalau minit daripada menteri apatah lagi perdana menteri, dia patuh.
"Tetapi saya telah beri pengarahan yang jelas...kalau ada minit daripada PM sekalipun kalau dianggap melanggar peraturan sekurang-kurangnya saya dimaklumkan telebih dahulu...apa lagi kalau dikalangan pegawai-pegawai di pejabat saya..pejabat Timbalan Menteri atau Menteri," katanya.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.