fb fb fb fb fb

PJRM cipta rekod jualan tanpa henti terpanjang, 56 jam

Jualan Rahmah MADANI menawarkan lebih 100 jenis barangan keperluan harian

SUNGAI PETANI, 29 September -Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) mencipta sejarah apabila berjaya mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi ketegori Longest Non-Stop Government Community Sale iaitu selama 56 jam.

Rekod berkenaan dicatatkan sempena Karnival KPDN Zon Utara dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2025 di Dataran Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah, selama tiga hari berakhir semalam.

Majlis penyampaian sijil pengiktirafan MBOR disempurnakan oleh wakil rasmi Malaysia Book of Records kepada Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin.

Majlis turut disaksikan Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, KPDN, Adiratno Che Ani.

PJRM dianjurkan oleh KPDN dengan kerjasama rakan strategik yang dilantik iaitu Pasaraya Mydin, Pasaraya C-Mart serta Pasaraya Ban Eng Huat.

Menurut Muhammad Nizam, pengiktirafan ini merupakan pencapaian penting bagi KPDN dan seluruh rakan strategik, sekali gus mengangkat Program Jualan Rahmah MADANI ke tahap yang lebih tinggi dalam usaha membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.

Beliau berkata, program jualan yang berlangsung selama 56 jam tanpa henti itu telah mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai dengan lebih 60,000 pengunjung hadir untuk memanfaatkan tawaran harga barangan yang amat berpatutan.

"Inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan untuk menyediakan peluang pembelian dengan harga murah kepada rakyat tetapi juga untuk menggalakkan sokongan kepada produk-produk tempatan sekali gus memperkukuhkan ekonomi negara.." katanya dalam kenyataan di sini.

Jualan Rahmah MADANI menawarkan lebih daripada 100 jenis barangan keperluan harian seperti minyak masak paket, gula, tepung gandum, barangan dapur dan produk penjagaan diri dengan harga yang sangat berpatutan.

TETITIA YUSOFF