fb fb fb fb fb

Johor terus jadi tumpuan pelabur teknologi Amerika Syarikat

FOTO FACEBOOK Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU, 29 September- Johor terus menarik minat pelabur Amerika Syarikat dalam sektor teknologi tinggi termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi digital.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat membuka ruang pertemuan dengan beberapa syarikat global berprofil tinggi.

"Pertemuan ini amat penting kerana ia mengukuhkan kedudukan Johor dalam sektor teknologi strategik," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.

Antara syarikat yang ditemui ialah Super Micro Computer Inc. yang membuka hab operasi Asia di Senai Airport City dan menubuhkan pusat penyelidikan dan inovasi bertaraf dunia di kawasan sama.

Brooks Automation Inc. melabur RM100 juta di Pasir Gudang bagi pengeluaran automasi semikonduktor, sekali gus dijangka mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi serta melibatkan vendor tempatan dalam rantaian bekalan.

Syarikat lain termasuk Pivotal Systems Corporation yang bercadang menubuhkan pusat penyelidikan serantau berasaskan automasi AI, sementara Keysight Technologies meneroka pelaburan baharu melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

OpenAI Inc. turut membincangkan potensi kerjasama strategik bagi penerapan AI dalam perkhidmatan kerajaan negeri, selain Bruker Corporation yang menyatakan minat mengembangkan operasi analisis saintifik dan diagnostik ke Johor.

"Kesemua pelaburan ini bukan sahaja bernilai tinggi, malah membuka peluang kerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana tempatan," katanya.

Onn Hafiz berkata Johor diyakini muncul sebagai hab teknologi serantau menjelang 2030.

SITI AISHAH BINTI MD ISA