KUALA LUMPUR, 29 September - Penyertaan aktivis antarabangsa termasuk dari Malaysia dalam misi flotila ke Gaza disifatkan sebagai simbol solidariti global menentang penindasan serta perjuangan membela hak rakyat Palestin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keberanian individu terbabit mencerminkan tanggungjawab bersama masyarakat dunia mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat.
“Genosid yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin wajar menerima kecaman tegas dan bukan sekadar retorik politik. Ia menyerlahkan pencabulan hak asasi manusia yang menjejaskan keselamatan sosial di seluruh dunia.
"Ini sekali gus menafikan hak asasi manusia terhadap keselamatan, maruah dan akses kepada perkhidmatan asas,” katanya ketika berucap pada Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Beliau menegaskan, berdiam diri terhadap ketidakadilan sistemik dan kekejaman di Gaza menjadikan sebarang perbincangan mengenai keselamatan sosial global tidak bermakna.
Beliau berkata, Malaysia konsisten mengecam pendudukan Zionis dan kolonialisme penempatan di Palestin.
Katanya, ini membuktikan komitmen negara terhadap keadilan yang merentasi sempadan serta menegaskan pentingnya solidariti dalam gerakan sosial.
“Justerus, wacana berkesan mengenai keselamatan sosial dunia mesti mengiktiraf realiti ini, dan apa yang kita perlukan sekarang ialah satu visi baharu yang mencerminkan cabaran semasa serta bersedia menghadapi masa depan,” katanya.