PUTRAJAYA, 22 Oktober - Program Jualan Malaysia (PJM) yang digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya merekodkan nilai jualan di sektor peruncitan mencecah RM661 bilion sekali gus melebihi sasaran awal iaitu RM500 bilion.
Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata PJM juga mencapai sasaran ditetapkan dengan lebih 302,000 premis mengadakan jualan murah berbanding 300,000 premis yang disasarkan.
"Alhamdulilah inilah usaha KPDN untuk memulihkan semula ekonomi negara dan kita amat bersyukur dan berbesar hati kerana ianya telah berjaya capai sasaran yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi cabutan bertuah siri akhir PJM di pusat beli-belah IOI City Mall, di sini.
Program Jualan Malaysia dilancar pada 2022 bagi menyokong pemulihan semula ekonomi khususnya sektor peruncitan sekali gus, mengembalikan keyakinan rakyat untuk keluar berbelanja pasca pandemik.