KUANTAN, 24 Jun- Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dilaksana di 145 lokasi di Pahang sejak Disember tahun lalu mencatat nilai jualan sebanyak RM4.5 juta.
Timbalan Menteri Kewangan l, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, dengan kehadiran lebih 200,000 pengunjung, program tersebut berjaya membantu rakyat berpendapatan rendah menangani isu kenaikan harga barang.
Jelas beliau, PJKM akan dilaksana secara berterusan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
"Kita juga akan teruskan inisiatif ini, walaupun ia usaha berterusan pihak KPDNHEP, tetapi Kementerian Kewangan juga secara rawak akan turun melihat adakah ia seperti yang dilaporkan.
Ia bagi memastikan supaya ada input untuk kita rangkakan, ini semua penting bagi kita memastikan perancangan dasar yang dibuat kerajaan adalah kena kepada cita rasa dan dapat mengurangkan bebanan masyarakat," katanya.
(Datuk Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan l)