fb fb fb fb fb

28 menu citarasa Malaysia disajikan untuk para jemaah haji

MAKKAH, 24 Jun - 28 jenis menu sajian citarasa Malaysia, dengan kepelbagaian juadah setiap kali waktu makan tengahari dan malam disediakan Tabung Haji (TH) bagi keperluan jemaah sepanjang musim haji tahun ini.

Ia bagi mengelakkan jemaah mengalami kebosanan jenis makanan, selain menjimat masa mencari makanan di luar, secara tidak langsung dapat menumpukan sepenuhnya kepada ibadat.

TH menggunakan tiga dapur berasingan sekitar Mekah bagi memenuhi keperluan sajian jemaah mengikut waktu serta membawa enam tukang masak dari Malaysia bagi menyediakan makanan yang memenuhi citarasa Malaysia.

Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman setiap makanan disediakan telah melalui saringan daripada pihak pakar nutrisi.


(Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman bersama Chef Mohd Kamarulzaman Md Rodi)

"Makanan di sini telah pun melalui saringan daripada pihak pakar nutrisi di kementerian kesihatan malaysia. Mereka juga melihat kesesuaian dari segi keseimbangan nutrisi pada makanan yang kita sediakan," katanya.

Dalam masa sama TH sentiasa memantau piawaian kebersihan, keselamatan makanan dan aturcara penyediaan bagi mengelakkan sebarang kesan kesihatan yang akan mengganggu kelancaran beribadah.

Selain pasukan dalaman TH, faktor kebersihan dan keselamatan makanan turut dipantau pihak berkuasa tempatan Mekah dan kementerian kesihatan Arab
Saudi.

"Di antaranya ialah pasukan katering daripada Tabung Haji Travel & Services. Kita ada juga rombongan perubatan iaitu dibawah unit kesihatan awam juga akan datang membuat audit dapur-dapur yang telah dikenal pasti, dan juga daripada pihak tabung haji kita ada pasukan unit khidmat luar yang juga sentiasa memantau persediaan makanan dari segi kualiti, kuantiti, kesihatan dan kebersihan," katanya.

Datuk Seri Saleh bercakap selepas mengadakan lawatan ke tiga dapur yang menyediakan makanan untuk Jemaah Malaysia iaitu Dapur Retaj, Makkah Kitchen dan Dapur Al-Wafa.

"Yang istimewa setiap hari jumaat kita akan buat nasi beriani untuk semua maktab. Dapur lain pun sama menu kita. Setiap hari jumaat memang kita ada nasi beriani untuk para jemaah," kata Chef Azrin Saad

"Kita ada kawalan kualiti (Qc), dan sebab itu kita sudah terhadkan berapa kuantiti yang perlu digunakan untuk dalam masakan. Contohnya kita nak pakai garam banyak mana supaya tidak terlebih masin. Kalau tidak ada Qc itu kadang mungkin akan terlebih garam, dan masakan jadi masin. Satu jemaah Malaysia ini jangan masin, jangan pedas, jangan berminyak," kata Chef Mohd Kamarulzaman Md Rodi.

"Ganjaran kepuasan, dimana bila kita masak bersungguh dengan ikhlas, dan jemaah makan dengan rasa seronok, itulah kepuasan pada kita. Dan satu lagi saya selalu terap dalam diri, kita masak ikhlas kerana Allah taala, ganjaran itu akan dapat dikemudian hari," kata Chef Mohd Effandi Jamaluddin di sini.

Media Baharu