fb fb fb fb fb

Kerajaan sokong inisiatif NGO tubuh pusat pemulihan sosial berteraskan Islam

HULU LANGAT, 24 Jun- Kerajaan mengalu-alukan inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menubuhkan insititusi rawatan dan pemulihan sosial berteraskan Islam.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, kerajaan sentiasa menyokong apa juga bentuk usaha untuk menangani isu sosial dalam kalangan anak muda di negara ini.

Namun jelasnya, pihak tersebut perlu mempunyai modul yang lengkap bagi semakan sebelum mendapat kelulusan untuk beroperasi bagi memastikan penubuhannya tidak bertentangan dengan agama dan undang-undang.

"Itu prosedur biasa dari segi modul-modulnya biasa, cumanya kita harapkan supaya itu dipermudahkan, kita dipihak kerajaan banyak membincangkan supaya banyak perkara yang kita nak buat termasuk juga soal pembangunan ekonomi supaya banyak perkara yang melambatkan itu kita perlu percepatkan.

"Sama juga seperti kewujudan seperti ini kita semak, tengok kalau tidak bertentangan dengan undang-undang, bertentangan dengan agama, kita berikat kerjasama yang baik,"kata Idris.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Bilik Detoksifikasi KemPerkid Malaysia dan Anugerah Jasamu Dikenang Kepada Institusi Pemulihan Gejala Sosial NGO Islam di Hulu Langat, Selangor.

Ketika ini terdapat 26 institusi pemulihan gejala sosial yang dikendalikan NGO Islam dengan tujuh daripadanya di bawah Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (PERKID).

Sementara itu, Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan berkata dakwah bukan sekadar menyampaikan maklumat dan ilmu, tetapi juga untuk menyelesaikan serta menangani masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

Oleh itu, katanya apa yang dilakukan oleh KemPerkid adalah satu daripada usaha unutk menangani gejala sosial yang melanda negara termasuk dadah, murtad, kes pergaulan bebas dan sebagainya

Beliau turut merayu semua pihak termasuk kerajaan, agensi swasta, individu dan usahawan sama-sama membantu YADIM bagi menggerak aktifkan institusi berkenaan.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad)

Media Baharu