fb fb fb fb fb

73 Laporan palsu babitkan hilang kad pengenalan diterima di gombak

KUALA LUMPUR, 24 Jun - Ada dalam kalangan orang ramai yang hilang kad pengenalan membuat laporan polis palsu mendakwa mereka disamun atau diragut bagi mengelak didenda Jabatan Pendaftaran Negara.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed yang mendedahkan perkara itu berkata sejak Januari lepas hingga kini pihaknya menerima 73 laporan palsu melibatkan individu berusia antara 20 dan 40 tahun.


(Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed / Foto fail)

“Hasil siasatan mendapati pengadu menggunakan helah atau alasan seperti disamun dan diragut dengan setakat ini 71 kes telah didakwa di mahkamah manakala dua kes masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelupusan bahan kes Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Baharudin Mat Taib hari ini melibatkan 1,335 kertas siasatan perjudian, wang palsu, barangan elektronik dan kontraband. 

Zainal Mohamed menasihatkan orang ramai supaya menjaga dokumen pengenalan diri dengan sebaiknya dan menegaskan selain denda, mereka yang didapati bersalah juga berdepan hukuman penjara.

Sementara itu, Baharudin berkata polis menumpaskan sindiket curi kenderaan susulan penahanan 10 individu berusia 35 hingga 62 tahun dalam Ops Lejang pada 17 Jun hingga Rabu lepas.  

“Kesemuanya ditahan di beberapa lokasi di Perak, Pahang, Kedah dan Johor… dengan penahanan ini, kami berjaya menyelesaikan 23 kes curi kenderaan membabitkan lapan kes di Johor, Selangor (tujuh), Perak (empat), Kedah (tiga) dan satu kes di Pahang,” katanya. 

Sindiket yang bergerak aktif sejak dua bulan lepas itu menyasarkan kenderaan mewah di kawasa pangsapuri, katanya.- BERNAMA

 

Media Baharu