PELABUHAN KLANG, 30 September – Projek Stesen Janakuasa Pulau Indah (PIPP) kini menjadi teraju utama tenaga yang boleh dipercayai, cekap serta bersih ke grid nasional sekali gus menjadi model penyelesaian tenaga lebih pintar dalam memperkukuh komitmen terhadap keselamatan tenaga dan pertumbuhan mampan negara.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata loji berasaskan gas asli dengan kapasiti 1,200 megawatt itu merupakan projek berimpak tinggi hasil kerjasama erat pelbagai pihak, termasuk antara kerajaan Persekutuan dengan negeri, selain memperkukuh perkongsian awam-swasta.
Tambah beliau, PIPP juga membuktikan pelaksanaan fasa pertama Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dalam mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu, meningkatkan kecekapan, serta membina asas tenaga lebih bersih.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof/Foto Bernama
“Dengan pengiktirafan Pulau Indah Power Plant (PIPP), kita bukan sahaja menambah kapasiti penjanaan baharu, malah memperkukuh komitmen terhadap keselamatan tenaga dan pertumbuhan mampan. Loji ini bukan sekadar membekalkan kuasa kepada kediaman dan industri, tetapi turut meningkatkan keyakinan pelabur bahawa Malaysia bersedia memenuhi keperluan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Stesen Janakuasa Pulau Indah (PIPP), di Pulau Indah, di sini. Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Projek berkenaan dikendalikan Pulau Indah Power Plant Sdn Bhd dengan kerjasama Worldwide Holdings Berhad (WHB) dan Korea Electric Power Corporation (KEPCO), yang memiliki 25 peratus pegangan ekuiti dalam projek tersebut. Ia merupakan pelaburan pertama syarikat Korea itu dalam loji janakuasa di Malaysia.
Dengan kapasiti bekalan mencecah lebih 40 peratus daripada keperluan elektrik di Lembah Klang, PIPP menyokong aspirasi negara di bawah NETR seiring perubahan pesat landskap global.
Loji berkenaan telah mula beroperasi sepenuhnya secara komersial pada 1 Mac lalu di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 21 tahun bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), selain berjaya mewujudkan lebih 2,500 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembangunan.