fb fb fb fb fb

Maqasid al-Shariah kunci tangani krisis iklim

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 September- Penyelesaian perubahan iklim mesti berlandaskan roh serta kerangka Maqasid al-Shariah, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda menegaskan, cabaran iklim menuntut kepimpinan berani, hala tuju jelas dan tindakan kolektif, bukan lagi retorik semata-mata.

“Keadaan ini amat genting. Masa hampir kehabisan. Dan ini lebih mengecewakan kerana kita tahu apabila kita bertindak dengan berani, pantas dan bersama-sama, kita mampu membawa perubahan positif,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama khas pada 16th Roundtable of the Securities Commission Malaysia (SC) and the Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) di ibu negara.

Sultan Nazrin mengingatkan, manusia sebagai khalifah bumi dipertanggungjawabkan untuk menjaga alam sekitar.

Keprihatinan terhadap iklim mesti melangkaui fahaman politik mahupun perbezaan agama.

Dalam pada itu, Baginda turut menekankan sektor kewangan Islam bernilai lebih AS$5 trilion mempunyai instrumen berkesan seperti Green Sukuk.

Instrumen itu telah membiayai projek tenaga boleh diperbaharui, biodiversiti dan pengangkutan lestari, malah diiktiraf Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai antara penyelesaian utama pembangunan mampan.

Baginda juga mengingatkan, inovasi teknologi hijau tidak boleh bersifat kosmetik.

“Panel solar yang dibuang sia-sia, ladang angin yang mencemari laut atau perlombongan mineral nadir untuk bateri elektrik yang merosakkan alam sekitar – semua ini tidak boleh dianggap penyelesaian,” titah Sultan Nazrin.

Bertemakan “Guardians of the Earth: Climate Action Through the Lens of Maqasid al-Shariah”, persidangan itu turut meraikan ulang tahun ke-40 OCIS.

Turut hadir, tokoh-tokoh antarabangsa termasuk bekas Presiden Turkiye, Dr Abdullah Gul dan bekas Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Dr Mohammed Al-Sabah.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN