fb fb fb fb fb

Bahasa Tamil, Iban dan Kadazan kini dipapar pada Welcome Wall Menara KL

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching (kiri) bergambar di dinding sambutan Menara Kuala Lumpur yang memaparkan ucapan selamat datang dalam pelbagai bahasa. Sebanyak 24 bahasa dipaparkan pada dinding tersebut. Foto- BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 September - Bahasa Tamil, Iban dan Kadazan kini antara 24 bahasa yang dipaparkan pada dinding sambutan atau Welcome Wall Menara Kuala Lumpur (Menara KL), sebagai pengiktirafan kepada kepelbagaian bahasa di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penambahbaikan itu dibuat selepas isu ketiadaan bahasa Tamil mendapat perhatian masyarakat India dan media tempatan awal bulan ini.

“Apabila isu ketiadaan bahasa Tamil menjadi tular, saya segera menghubungi pihak pengurusan Menara KL agar bukan sahaja memasukkan bahasa Tamil, tetapi turut menambah baik paparan dengan memasukkan bahasa Iban dan Kadazandusun yang juga merupakan sebahagian daripada bahasa Malaysia,” katanya pada sidang media di Menara KL.

Beliau menjelaskan, Welcome Wall diperkenalkan pada November 2021 dengan paparan lebih 20 bahasa antarabangsa termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Sanskrit, Arab, Jepun serta beberapa bahasa utama Eropah dan Asia.

Bagaimanapun, paparan itu tidak pernah dikemas kini sehingga isu ketiadaan bahasa Tamil dibangkitkan pada awal September.

Menurut Teo, susulan laporan media tempatan pada 9 September, pihak pengurusan segera meneliti cadangan teks baharu pada 11 September sebelum melaksanakan pemasangan versi terbaharu pada 28 September lalu.

Beliau menegaskan isu berkenaan berjaya ditangani secara pantas dan berkesan, membuktikan kesungguhan kerajaan mendengar kebimbangan awam.

Menara KL kini bukan sahaja kekal sebagai mercu tanda pelancongan, tetapi juga menjadi lambang keterangkuman, perpaduan dan kepelbagaian rakyat Malaysia.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN