fb fb fb fb fb

PINTA Kebangsaan anjur himpunan 23K Huffaz pada 11 Mac ini

KUALA LUMPUR, 6 Mac- Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan) dan Pejabat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menganjurkan Majlis Himpunan 23K Huffaz Malaysia dan Ekspo Huffaz 2023 bermula 10 hingga 12 Mac ini di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bertemakan "Pendidikan Tahfiz Hak Asasi Umat Islam" program ini memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat bagi lebih memahami dan mendekati Institusi Tahfiz al-Quran sebagai asas kepada pendidikan Islam.

 
(Majlis ini dijangka dihadiri Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri
/Foto FB Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan)

Menurut Presiden PINTA Kebangsaan Mohd Zahid Mahmood Al-hafiz, penganjuran kali keempat itu dijangka menghimpunkan 23,000 huffaz dari seluruh negara yang seterusnya akan menyempurnakan 1,000 kali khatam al-Quran. 

"11 Mac 2023 merupakan acara kemuncak iaitu himpunan 23K Huffaz Malaysia akan berlangsung bermula pada jam 3.00 petang dimana seramai 23,000 Huffaz dari seluruh negara akan berkumpul dan akan menyempurnakan sebanyak 1,000 kali khatam al-Quran bersama-sama pimpinan tertinggi negara," katanya di sini.

Majlis ini dijangka dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Katanya lagi, Ekspo Huffaz 2023 juga akan diadakan di lokasi sama buat julung kalinya dari 10 hingga 12 Mac bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih memahami dan mendekati Institusi Tahfiz Al-Quran sebagai asas kepada pendidikan Islam. 

"Terdapat pelbagai pempamer yang akan hadir dalam ekspo ini, ia termasuk daripada agensi kerajaan dan swasta serta galeri artifak tamadun Islam , Galeri Cendekiawan Islam, Pameran al-Quran, Forum Zayan , Klinik Al- Fatihah dan lain-lain," katanya dalam Sidang Media Berkaitan Majlis Himpunan 23K Huffaz Malaysia dan Ekspo Huffaz 2023 di ibu negara.

Penganjur turut menyediakan bas perantara bagi pengunjung yang meletak kereta di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Media Baharu